Menyantuni Pusaka Anak-anak Yatim

Hilang nya Kasih Sayang Ayah Ibu ……

Hilang nya dakapan Ayah Ibu ……

Hilang nya Ciuman Ayah Ibu ……

Anak-anak yatim adalah mereka yang kematian BAPA dan sebelum mencapai umur baligh. Dari Ali Bin Abi Talib r.a, Rasulullah SAW bersabda : “Tidak menjadi ANAK YATIM setelah BALIGH” – (Riwayat Abu Daud)

Pada dasarnya, pihak yang boleh mengambil alih pengurusan harta anak-anak yatim adalah orang yang telah diwasiatkan oleh bapa kepada anak tersebut. Sama ada dari kalangan kaum kerabatnya seperti ibu, bapa saudara, datuk, atau selain dari yang disebutkan.

Jika bapa (simati) tidak membuat sebarang wasiat berkenaan kedudukan anak-anak mereka, maka tanggungjawab menguruskannya adalah terletak pada datuk bagi anak tersebut iaitu ayah kepada si mati. Manakala jika datuknya tiada, hak pengurusan anak tersebut adalah pada ibunya, ataupun dari kaum kerabatnya seperti saudara lelaki, bapa saudara, dan seumpamanya.

Kuasa menguruskan harta anak-anak yatim adalah kepada seseorang yang kuat, mempunyai kepakaran terhadap apa yang telah dipertanggungjawabkan dan bersikap amanah dalam menguruskannya.

Mereka perlu bertanggungjawab dalam menguruskan anak-anak yatim dan hendaklah sentiasa berbuat baik kepada mereka.

Firman Allah SWT : “Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.”  – (Surah al-Dhuha: 9)

Daripada Abdullah bin Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni.”  – (Riwayat al-Tirmizi)

Melakukan yang terbaik ke atas harta anak yatim sebagaimana firman-Nya : “Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang terbaik sehinggalah anak tersebut sampai kepada tempoh balighnya.”  -(Surah Al-An’aam: 152)

Melarang keras kepada yang memakan harta anak yatim secara zalim dan secara batil. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” – (Surah al-Nisa’: 10)

Menjadi salah satu dosa besar yang menghancurkan. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Jauhilah tujuh dosa besar. Bertanya para sahabat: Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu?. Jawab Baginda: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh manusia yang mana diharamkan oleh Allah kecuali mereka yang dibenarkan oleh syarak, memakan riba, MEMAKAN HARTA ANAK YATIM, lari dari medan perang dan melemparkan tuduhan qazaf terhadap wanita mukmin.”(Riwayat Al-Bukhari)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas kepatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa. Barang siapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah ia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah ia makan harta itu menurut yang patut.”(Al-Nisa’: 6)

Oleh itu, mereka yang dipertanggunjawabkan mengurus dan menjaga anak-anak yatim ini, perlulah seorang yang amanah, jujur dan telus dalam menguruskan anak-anak ini.  Ganjaran yang besar SYURGA oleh Allah SWT kepada yang  pikul amanah ini dengan penuh dedikasi  dengan penuh keihsanan dan kasih sayang.

 

www.shaifuddinsafuan.com
#KitaTidakAdaMasaLagi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *